SERDANG 13 Ogos - Eksperimen berterusan selama 11 tahun oleh sebuah ladang ternakan, United Falco Sdn. Bhd. untuk menghasilkan baka kambing Jamnapari terbesar mula membuahkan hasil apabila seekor penjantan miliknya yang berusia tiga tahun sudah mencapai berat badan 120 kilogram (kg).
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati susuk badan kambing yang diberi nama Jamnapari King itu umpama seekor anak lembu dengan ketinggian satu meter dan panjang badannya pula mencecah dua meter.
Pengarah Eksekutif United Falco, Mohd. Fauzi Daud berkata, pihaknya amat berbangga dengan baka Jamnapari King kerana ia dihasilkan melalui proses pembiakan secara semula jadi tanpa membabitkan permanian beradas mahupun pemindahan embrio.
Katanya, berat badan seekor Jamnapari King yang berusia tiga tahun boleh mencecah 120kg berbanding baka Jamnapari biasa yang hanya mempunyai purata berat badan 50kg.
"Sebanyak 120 ekor penjantan baka Jamnapari King telah dibiakkan di ladang kami di Lenggeng, Negeri Sembilan dan ia dibuka untuk jualan kepada pihak yang berminat," katanya kepada Utusan Malaysia pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.
Katanya, sebanyak empat pakej telah diperkenalkan dan setiap satunya berharga RM11,500, RM20,000, RM50,000 dan RM100,000.
"Sebagai contoh, pakej asas bernilai RM11,500 akan mengandungi seekor penjantan Jamnapari King berharga RM2,500, lima ekor kambing Jamnapari betina bernilai RM950 setiap seekor, kandang kambing dan kursus penternakan selama tiga hari dua malam.