Dato' Dr Haron Din Fri | Jul 03, 09 | 11:29:06 am MYT | |
SOALAN: Dato', saya telah melihat gambar dalam internet dan mendengar beberapa ceramah Israk Mikraj, ada penceramah menunjukkan gambar batu besar yang tergantung-gantung di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis. Adakah benar batu itu tergantung-gantung (tidak berpihak di bumi) dan terlepas daripada tarikan graviti. Pohon Dato' perjelaskan apakah yang sebenarnya. - ZAINAL AHMAD JAWAPAN: Ulama umumnya berpendapat Rasulullah s.a.w. bermikraj dari satu tempat di Biatulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj (kubah tempat dimikrajkan). Tempat itu juga dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis. Dalam kitab al-Israk wal-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang bermaksud 'Tempat Nabi bermikraj', disebut di bawahnya suatu penulisan (yang bermaksud): "Berkatalah al-Imam Aku Bakar Ibnul 'Arabi, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-Muwattak oleh Imam Malik disebutkan, batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban Allah SWT. "Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi. "Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi s.a.w. berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan baginda s.a.w maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya. "Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain." Inilah penulisan yang saya rujuk daripada penulisan seorang ulama besar yang dikenali dengan nama Ibnul 'Arabi. Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi Muhammad s.a.w tergantung-gantung. Itu adalah cerita dahulu. Ada sandarannya, ada catatannya dalam kitab-kitab yang berautoriti, termasuk daripada kitab yang saya sebutkan tadi. Ada pun mutakhir ini, saya sendiri berpengalaman, telah masuk dan melihat batu tersebut, yang sekarang tempat itu dikenali sebagai Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu). Sekarang ini sudah berada di belakang daripada Masjid al Aqsa. Jika dilihat Masjid al-Aqsa, imam akan dilihat berada nun jauh daripada arah kiblat dan berakhir kawasan masjid dengan Qubbatul Sakhrah ini. Saya telah memasuki tempat ini, berpeluang melihat batu itu dan masuk ke bawahnya. Memang batu itu benar-benar wujud dan terletak di tengah-tengah bangunan. Gambaran sekarang ini, batu itu jika dilihat daripada bawah, seolah-olah seperti sebuah payung besar, seperti gua yang kita berada di bawahnya. Saya menganggarkan keluasan tempat itu, sebesar ruang solat untuk 20 atau 25 orang, jika untuk masuk bersesak-sesak boleh sampai 150 orang. Merenung batu itu dengan cermat, saya dapati ia sekarang terletak di atas fondisi konkrit batu yang kukuh. Di segenap arahnya berpijak ke atas fondisi itu dan tidak nampak pun ia tergantung seperti yang dijelaskan di atas. Semasa lawatan itu, saya kebetulan bertemu dengan Imam Besar Masjid al-Aqsa yang berada di situ, di samping pemandu pelancong kami. Mereka menyatakan memang dahulu batu besar yang macam payung itu tergantung-gantung. Oleh kerana banyak pembesar-pembesar negara dan banyak pelawat-pelawat luar datang, mereka terperanjat dan amat gerun dengan keadaan batu itu, banyak yang tidak berani masuk di bawah batu itu, kerana takut tiba-tiba batu itu menghempap. Memandangan hal keselamatan penting dan mengelak daripada berlakunya berbagai tanggapan orang ramai ke atas keadaan yang unik itu, maka pihak berkuasa mengambil tindakan membina fondisi yang menyambung batu itu dari bumi. Ketakutan pembesar-pembesar zaman ini samalah seperti yang dirasai oleh al-Imam Aku Bakar Ibnul 'Arabi seperti dalam bukunya. Maka atas itulah batu tersebut sudah tidak lagi kelihatan tergantung-gantung, tetapi ia menjadi seperti sebuah bangunan yang di bawahnya boleh dimasuki, ia kelihatan seperti sebuah batu biasa yang dapat dilihat. Wallahua'lam. - |
HQ: 995-D Lorong Chicha Jalan Bayam 15200 Kota Bharu Kelantan Contact: Mr Muhzan = 6 012 9833690 Farm: MyJamnapari.Kampung Bukit Pauh,Gual Ipoh,17500,Tanah Merah,Kelantan Contact -609-9770308.
Friday, July 24, 2009
Perihal batu besar tergantung di Masjidil Aqsa
Pemikiran Arena Wati mengenai rasuah dan kekuasaan
H Fansuri Wed | Jul 22, 09 | 11:57:50 pm MYT | |
Arenawati atau nama aslinya Muhammad Dahlan bin Abdul Biang, Andi Mohalan Andi Beang tidak hanya sasterawan, malah wartawan terbilang, pejuang yang jelas yang muncul sejak zaman yang pernah menyaksikan pelbagai jenis perang yang melanda negara kita.Kekayaan khazanah pengalamannya tidak terhitung. Beliau lahir pada 30 Julai 1925 di Makasar, Indonesia. Lelaki yang hidupnya penuh kaya dengan pengalaman ini memiliki kekuatan jalur bahasanya yang tersendiri. Arena mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943. Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik. Beliau menamatkan pengajian menengahnya di Makasar pada tahun 1953. Selepas tamat persekolahan, Arena bekerja dengan syarikat penerbitan di Singapura, dan kemudiannya ke Johor Baru dan Brunei. Dalam tempoh ini, beliau telah menjadi warganegara Malaysia dan antara tahun 1962 hingga 1974, beliau bertugas di Pustaka Antara, Kuala Lumpur. Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara dan akhirnya menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. Kebanyakan karya Arena Wati berbentuk akademik, imaginatif, mencabar minda dan kritikannya pedas dan berbisa. Pendirian Arenawati mengenai rasuah Dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arenawati yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 9 - 10 Jun lalu, Mana Sikana lewat kertas kerjanya telah menyimpulkan bahawa Pak Arena mempunyai pendirian yang keras ke atas isu rasuah dalam sesebuah negara. Hal ini, beliau rujuk berdasarkan kajiannya ke atas skrip drama Pak Arena berjudul 'Kutukan Dari Langit' yang memperihal kisah Patigo dan kekasihnya Ratina. Drama ini banyak menyentuh hal kekuasaan, rasuah, skandal dan penyelewengan. "Lingkaran pertuduhan dan penghujahan dalam Kutukan Dari Langit karya Arena Wati, kelihatan berlegar di sekitar pusat pemikiran pengadilan di mahkamah. Namun, secara tidak langsung turut dihadirkan pelbagai subjek lainnya, yang turut berangkaian dengan pelbagai macam, terutamanya persoalan rasuah. "Di sana sini, pengarang menyentuh dengan sinis penyalahgunaan kekuasaan dalam pemerintahan dan masyarakat, yang menggalakkan rasuah," kata beliau. Secara umum, menurut beliau drama Arena ini menelanjangi perilaku rasuah dan sikap pemerintah atau penguasa. Suburnya rasuah seiring dengan kata-kata akronim ABS: asal bapak senang, dan bermaharajalelalah sang rasuah. Menyentuh karya Pak Arena itu, beliau menyifatkan bahawa lingkaran birokrasi digambarkan sangat menggerunkan. Zaman order-order baru yang kaya dengan kejahatan rasuah itu, dicontohkan pada halaman 18, .. "untuk jadi polis, mesti bayar wang bernilai 20 sapi. Untuk jadi tentera, mesti bayar wang bernilai 25 sapi. Bagaimana akan diganti pembayaran itu? Gaji mereka hanya cukup dimakan seminggu. Wajar, jika mereka rasuah dan amalkan pungutan paksa". "Sikap idealis pengarang untuk mendedah dan memperbaiki moral masyarakat sangat menonjol, sehingga drama ini menyentuh unsur moral supaya masyarakat menyedari setan masyarakat yang boleh menjahanamkan negara. Motif rasuah dihadirkan, yang membayangkan Arena Wati semacam muak dengan kehidupan terkini yang kaya dengan rasuah itu. "Ia mencela habis-habisan dalam drama ini, sesungguhnya ia tidak wajar, tidak bermoral, dan melakukan munafik kepada seluruh manusia. "Diheretnya juga, kemajuan ilmu pengetahuan yang telah menjadikan manusia sombong, seolah-olah dia sahaja yang pandai, tetapi rupa-rupanya menggunakan ilmunya untuk pemantapan dirinya, ia digelar bagaikan Fir'aun moden, kerana ia juga melakukan rasuah ilmu," kata beliau. Kajian ke atas watak perasuah Patigo: ..Rasuah, penipuan dan pencurian berleluasa. Ilmu digunakan berperanan salah.. Penyelewengan dianggap kebijaksanaan. Ramai anggota polis sepakat mencuri. Ramai anggota tentera bersubahat merompak dan tembak rakyat sendiri.. Nasionalis menggadai hak negara. Keadilan dikalahkan penganiayaan. Dalam situasi dan keadaan begitu Ratina semakin kaya.(Kutukan dari Langit: 79) Mana Sikana berkata, tuduhan rasuah ini jugalah yang ditimpakan kepada salah satu watak yang cuba dijelmakan dalam skrip itu, iaitu Ratina. Patiga, seorang pensyarah telah menghantar tiga orang siswazah, calon sarjana bidang insektologi dan botani, membuat kerja lapangan di sekitar Bintamurung, Manoli, Lamakaji, Sunda Besar. Tambah beliau, hasil daripada kajian inilah Patigo mengetahui Ratina masih hidup, malah memiliki kebun bunga dan dusun buah seluas 496 hektar, iaitu 'Ratina Bloomen Per' dan Ratina Rozen Tuin'. "Patigo sampai kepada suatu puncak, apabila dia ditekan-tekan dengan pelbagai tuduhan terhadap Ratina: sebenarnya dia melakukan rasuah. Tetapi soalnya bagaimana dia hendak meyakinkan mahkamah di sebuah negara yang rasuah itu? Bagaimana cara pembuktian perasuahan dilakukan oleh Ratina? Berikut dikepilkan petikan dialog seorang ketua hakim yang meminta warga mahkamah berhati-hati terhadap Patigo. Ketua Hakim: Mahkamah diperingatkan! Jangan bersikap ala Henrik Ibsen di Norway itu, apabila hadapi Patigo. Dia matang dan memiliki keyakinan. Nanti terjerumus ke dalam lubang yang kamu gali. Patigo itu profesor. (Kutukan dari Langit: 112) Ketika merujuk perenggan berisi dialog di atas, Mana Sikana berkata, petikan dialog tersebut menunjukkan bahawa telah wujud kepekaan sasterawan negara itu ke atas isu rasuah melalui penelitian tajamnya terhadap naskhah agung milik bapa drama dunia moden. "Arena Wati sengaja menghadirkan tokoh Henrik Ibsen dalam konteks pengukuhan tekstualiti dramanya. Daripada sudut lain untuk membayangkan kearifan penulis terhadap Henrik Ibsen; bapa drama dunia moden itu. "Membaca Kutukan dari Langit kita akan berhadapan dengan An Enemy of the People(1882), yang menggambarkan hal skandal, rasuah dan mencitrakan moraliti zaman yang bobrok. "Antara 27 buah drama realisme Ibsen, An Enemy of the People sering dijadikan ikonik kepada kerja pendramanya, kerana pencitraan yang 'real', tetapi penuh rumit dan kompleks. Ciri-ciri itu saya kira diwarisi oleh Kutukan dari Langit," kata Mana Sikana. Pendirian Arena Wati berhubung kekuasaan Daripada segi politik, sikap dan pendirian sasterawan negara ini sangat jelas sekali memihak kepada kekuasaan politik yang mengambil perhitungan unsur-unsur kemanusiaan; keadilan, kesaksamaan, kasih sayang dan kepekaan ke atas golongan lemah yang perlukan bantuan. Mana Sikana berkata, menerusi skrip drama 'Kutukan dari Langit', aspek kekuasaan disentuh dengan banyaknya. Tambahnya secara politik, kekuasaan menjadi dasar pengaturan negara atau institusi, alat untuk mencapai dan mempertahankannya. Dalam perjalanan kekuasaan, penguasa mempunyai pelbagai cara. "Dalam 'Kutukan dari Langit' pengarang mengemukakan beberapa pandangan, ada ketua secara mulia berkongsi kuasa, menyerahkan mandat kepada ahli untuk berbincang dan hanya kata putus bila kiranya ada perbalahan. "Ada juga ketua, yang hanya memberi perintah, memutuskan dan memberi arahan, orang bawahnya dikerah untuk memudahkan kerja-kerja pemerintahannya, ia bersifat diskriminatif dan menolong kepada orang-orang yang pernah menolongnya. "Kutukan dari Langit sangat mengutuk ketua jenis kedua, kerana ia membenihkan praktik menyalahgunakan kekuasaan dan akhirnya menimbulkan sistem anarki. Akibatnya, negara Doinensia mengalami kerumitan dan banyak masalah," katanya. Laut pengetahuan dan samudera pengalaman Pak Arena Wati itu telah menakung segala macam ribuan buruk baik sikap kita. Dan kita ini masih belum mencedok selaut pemikiran Pak Arena berhubung isu kedudukan agama (Islam), bahasa Melayu dan kebudayaan. Apakah pendirian Pak Arena berhubung hal kedudukan agama, bahasa Melayu dan budaya kita itu? Mungkin petikan di bawah ini adalah gambaran awal ke atas setitis mutiara ilmu yang terpercik dari lautan hikmahnya yang sempat kita sambut dengan penuh teliti dan waspada. 'Bengkok jarum pedoman cita-cita. Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah.' (Busa Hati, 2002) Rujukan:- Kutukan Dari Langit (2004) Trilogi Busa: Busa Hati. (2002). Arena Wati. Penerbit UKM 5:44 p.m, 22 Julai |
Tazkirah Jumaat: Lelaki ramai masuk neraka?
Ustaz Zainudin Hashim Fri | Jul 24, 09 | 12:43:04 pm MYT | |
Kalau dilihat secara renungan makrifat, terdapat satu hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menceritakan pengalaman baginda bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha malam Israk Mikraj, di mana Allah SWT telah memperlihatkan kepadanya keadaan wanita yang kebanyakan mereka dihumban dalam api neraka lantaran beberapa kesalahan semasa berada di dunia.Namun ia bukan bermakna bahawa orang lelaki terselamat daripada panas api neraka dan dimasukkan dalam syurga Allah yang penuh dengan pelbagai nikmat yang luar biasa, yang terkadang tidak tergambar oleh akal fikiran manusia semasa hidup di dunia. Justeru, apabila kita lihat beberapa istilah dalam al-Quran, menggambarkan kepada kita bahawa orang lelaki juga tidak kurang menjadi penghuni neraka. Ini berdasarkan keterangan al-Quran seperti istilah 'Ashabun Nar' (ahli neraka), al-Kafirun, al-Fasiqun, al-Munafiqun, az-Zolimun dan juga istilah yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. seperti golongan 'dayus', peminum arak dan anak-anak derhaka. Apa yang menarik perhatian dalam isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah golongan dayus seperti yang ditegaskan dalam sebuah hadis baginda. Ramai daripada kalangan umat Islam hari ini tidak menyedari bahawa mereka boleh termasuk golongan yang dayus dan tempat golongan ini di akhirat tidak lain adalah neraka.Mengapa neraka bagi golongan dayus? Golongan dayus ini sama ada seorang ayah yang membiarkan anak-anak gadis mereka keluar rumah tanpa mengenakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna begitu juga seorang suami yang membiarkan isterinya mendedahkan aurat seperti tidak memakai tudung kepala hingga di bawah perhiasan mereka. Termasuklah membiarkan pembantu rumah di kalangan wanita asing yang dibiarkan tidak menutup aurat, maka suami tadi tidak berhak masuk syurga kerana membiarkan isteri dan pembantu rumahnya tidak menutup aurat seperti yang ditegaskan oleh al-Quran. Peristiwa wanita ke neraka pada malam Mikraj Sayidina Ali k.w. berkata: "Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?" Baginda s.a.w. menjawab: "Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka." Ali bertanya: "Apakah yang ayahanda lihat di sana?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tekak). "Aku lihat perempuan yang digantung kedua-dua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, didatangkan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. "Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak. "Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar dengan pelbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka." Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: "Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya. "Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya. "Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang. "Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain. "Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah. "Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya. Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya." Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah." Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan." Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan." Rasulullah s.a.w. ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: "Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup." (Hadis riwayat Bukhari) |